Apabila Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hendak memulakan ucapan beliau, kelihatan MP2 yang berada diluar dewan semasa wakil BN berucap bergegas masuk ke dewan. Kawan dan lawan saling ingin mendengar apa yang mahu disebutkan oleh TGHH.
TGHH memulakan ucapan beliau dengan mengatakan bahawa dia akan menumpu kepada persoalan dasar dan prinsip. Dalam ucapan beliau yg hampir sejam, banyak yang disebutkan oleh beliau dan tak mungkin saya dapat ulas keseluruhan ucapan TGHH di sini. Transkrip penuh ucapan Dato Seri TG di Parlimen pada 15 Oktober 2008 boleh didapati di laman web MPPAS. Namun, saya cuma ingin menonjolkan 4 isu utama yang begitu menggamit dewan pada hari tersebut:-
1. Keruntuhan Sistem Kapitalisma
TGHH menyebut krisis ekonomi yang sedang dihadapi dunia sekarang ini merupakan tanda2 keruntuhan sistem Kapitalisma barat. Sepertimana sistem Kommunisma telah runtuh, begitu juga sistem Kapitalisma yang berlandaskan riba sedang menuju keruntuhan.
Point ini amat saya setujui dan amat sesuai sebagai muqaddimah ucapan TGHH. Sepertimana diketahui umum, sistem kapitalisma ini sememangnya telah melalui beberapa modifikasi. Modifikasi-modifikasi ini hanya mampu melanjutkan hayat sistem Kapitalisma ini buat beberapa ketika tetapi tidak mungkin menghalang keruntuhannya. Modifikasi yang telah dilakukan bertujuan menyuntik aspek kemanusian ke dalam satu sistem ekonomi yang berpaksikan ketamakan manusia untuk memiliki dan menambah pemilikannya.
Modifikasi-modifikasi ini tidak akan berjaya akhirnya kerana Kapitalisma diasaskan konsep yang tidak tepat berhubung kewujudan manusia. Modifikasi yang dilakukan merupakan modifikasi struktural semata-mata yang tidak merubah asas dan isi Kapitalisma itu sendiri.
Islam bermula dengan konsep yang tepat berhubung kewujudan manusia di mana manusia dilihat sebagai makhluk yang mulia, lebih mulia dari para malaikat. Matlamat hidupnya begitu terhormat dan bermakna, iaitu untuk mencari keredaan Illahi. Sistem ekonominya, sosialnya dan politiknya dibina atas asas yang seperti ini dan oleh itu ia mampu menghasilkan keadilan dan kasih sayang sesama manusia.
2. Penyatuan Manusia
TGHH menyebut, “menyatukan manusia bukan seperti menyatukan batu. Manusia ada perasaan, ada hati, tidak boleh disatukan dengan paksaan. Manusia akan hanya mampu disatukan dengan keadilan”. (au kama qall)
Ini juga merupakan point yang amat penting. Ianya merupakan konsep asasi yang membezakan pendekatan Islam dari pendekatan yang lain. Keadilan merupakan paksi perpaduan dan kemakmuran. Apabila keadilan terlaksana, maka semua manusia, kecuali yang ingin menzalimi sesama manusia, akan merasa puas-hati dan gembira. Bila seseorang dilayani dengan adil, sebagai manusia yang bermaruah, mempunyai hak, tanpa mengambil kira kaum atau bangsa, dia akan merasai dirinya dihormati, dikasihi. Dalam keadaan sebegini, penyatuan hati2 manusia boleh terjalin.
Ucapan TGHH menarik perhatian semua, orang Melayu dan yang bukan Melayu. Ianya merupakan polisi speech yang menunjuk jalan keluar dari kemelut perkauman yang sedang diusahakan oleh UMNO/BN. MP2 dari PKR dan DAP menepuk meja tanda sokongan. Pada pandangan yang bukan Islam, selama ini orang Melayu sentiasa memainkan isu perkauman, lebih2 lagi apabila tersepit. Oleh itu mereka terpegun dengan keterbukaan TGHH yang mampu menzahirkan perbezaan ‘sikap Islam’ dan ‘sikap Melayu’.
3. Kedudukan orang-orang bukan Melayu
TGHH menyambung, “lupakan soal siapa datang dulu dan siapa datang kemudian. Ini merupakan persoalan yang hanya menyebabkan kita bertelagah di antara satu sama lain sedangkan hakikatnya kita semua rakyat Malaysia dan kita kena hidup bersama”. (au kama qall)
Ucapan ini lagilah menyebabkan semua tersentak, terpegun. Terserlah sikap Islam yang begitu terbuka dan mementingkan keadilan dan kemulian untk semua manusia. Hakikatnya semua kaum di Malaysia adalah ‘mangsa’ sejarah. Tidak mungkin masa itu diputarkan kembali (turn back the clock) kepada zaman silam. Hakikatnya kita berada di masa sekarang, suasana sekarang dan keadaan sekarang. Samada kita tangani apa yang ada pada kita secara positif dan membina atau kita menipu diri kita dengan melaung2kan satu bentuk penyelesaian yang tidak mampu menjamin keadilan untuk semua.
TGHH menyebut bahawa keadilan semestinya mengambil kira hakikat orang Melayu majoriti dan kedudukan orang Melayu perlu dilindungi. Namun, tambah beliau, ini tidak bermakna kaum dan bangsa lain tidak mendapat pembelaan.
4. Cerdik tak boleh ditumpang bodoh tak boleh diharap
TGHH menyebut dalam soal modal insan, jangan sahaja ingin membina manusia berilmu. Kita mesti inginkan manusia berilmu yang berakhlak. Jangan jadikan jenis manusia yang mementingkan duit sahaja. Isu membina modal insan mesti mengandungi juga di dalamnya persoalan akhlak. Jangan jadi seperti apa yang disebutkan di atas, “yang cerdik tidak boleh ditumpang, yang bodoh tidak boleh diharap”.
Menurut TGHH, Malaysia perlu belajar dari pengalaman Jepun, German, Taiwan dan sebagainya. Bagaimana, walaupun mereka tidak dianugerah kekayaan semula jadi seperti kita, namun mereka telah memecut jauh ke depan. Ini di antara lain adalah disebabkan mereka membentuk manusia berilmu dan berakhlak walaupun bukan akhlak islami tetapi akhlak patriotisma yang mementingkan pengorbanan untuk masyarakat dan Negara. Bukan main sapu seorang diri.
Banyaklah lagi yang disebut beliau. Yang penting sikap Islam yang berbeza dengan sikap Melayu menjadi jelas. Yang penting juga kewibawaan TGHH sebagai Presiden PAS dan salah seorang pemimpin utama PR semakin terserlah. Ramai yang memuji ucapan beliau dan sangkaan masyarakat bukan Islam terhadap beliau jelas terbukti meleset. PAS mula dilihat sebagai parti alternatif yang mampu memerintah Negara ini dengan disokong semua pihak. Ini berlaku disebabkan penegasan terhadap prinsip keadilan untuk semua oleh TG Presiden.
Sepanjang ucapan TGHH, semua mendengar dengan penuh teliti. Tiada yang menyampuk dan tiada yang mengejek. Semua tahu cara menghormati ucapan yang terserlah keikhlasan dan keilmuan di dalamnya. Sehabisnya ucapan beliau, TGHH beredar keluar kerana ingin ke IJN untuk membuat pemeriksaan. Yang dilaluinya menghulurkan tangan, bersalaman dan mengucapkan tahniah atas ucapan beliau.
Sebaik sahaja TGHH menamatkan ucapan beliau, saya berasa amat bangga dan gembira. Ini adalah kerana hari itu PAS bukan sahaja telah meninggalkan kesan yang begitu bermakna kepada sistem demokrasi berparlimen negara Malaysia, tetapi juga telah berjaya menyerlahkan kebenaran PAS For All.
0 ulasan for this post